Ahad, 12 Disember 2010

BIDA’H: MENURUT PANDANGAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH


بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah kerana dengan izinNya dapat lagi saya meneruskan penulisan ilmiah ini untuk dikongsi bersama dengan sahabat-sahabat. Moga-moga penulisan ilmiah ini dapat dikongsi dengan sahabat-sahabat yang lain. Pada beberapa hari yang lalu saya membicarakan tentang tafsiran surah al-hujurat bahagian pertama yang menyentuh secara umum perkara-perkara yang sangat berkait rapat dengan kehidupan kita. Penulisan kali ini tidak menyambung tafsiran surah tersebut akan tetapi membicarakan mengenai bida’h, isu yang menjadi satu perbualan yang hangat dalam kehidupan kita sebagai umat Islam. Tafsiran surah al-hujurat akan dibincangkan pada sesi akan dating, InsyaAllah.
Tujuan saya menulis tajuk Bida’h dalam blog ini adalah untuk memberikan penjelasan yang sebenar mengenai bida’h menurut pandangan ahli sunnah wal jamaah. Guru saya, Ustaz Muhadir b. Haji Joll telah membuat satu buku mengenai 6 perkara asas memahami khilafiah. Bida’h dijelaskan dalam buku ini dan buku ini sangat bermanfaat dibaca bersama kerana buku ini menjelaskan lebih detail mengenai bida’h dan kupasan hadis tentang bida’h. InsyaAllah saya akan menyampai apa yang telah guru saya sampaikan iaitu makna sebenar bid’ah menurut pandangan ulama’ ahli sunnah wal jamaah dan kupasan hadis tentang bida’h. Pada penulisan kali ini saya akan menyentuh sedikit tentang makna bid’ah, pembahagian bida’h dan ulama’-ulama’ yang bersepakat mengenai pembahagian bida’h tersebut.
Pertama kita akan membicarakan serba sedikit makna bida’h dari sudut bahasa dan istilah syara’ kerana sesuatu perkara itu hendaklah difahami makna sesuatu perkataan dari sudut bahasa dan istilah syara’. Saya petik di dalam kitab guru saya di mana di dalam kitab tersebut menyebut makna bida’h di dalam kamus Al-Muhith ialah الأمر الذي يكون أولا  yang membawa maksud “sesuatu perkara yang menjadi pertama”. Kita lihat pula maksud bida’h di dalam kamus Mukhtar Ash-Shihhah ialah إختراعه لا على مثال yang membawa erti “mengadakan sesuatu tidk menurut contoh”. Di dalam kamus Al-Munjid mengatakan ما أحدث على غير مثال سابق yang membawa makna “apa-apa yang diciptakan tanpa ada contoh terdahulu”. Oleh itu, kita dapat simpulkan melalui takrifan ini bahawa bida’h membawa maksud dari sudut bahasa ialah “sesuatu perkara baru yang diciptakan atau diadakan dengan tidak ada contoh sebelumnya.” Ini dari sudut bahasa dan dari segi syara’ pula perlu dirujuk kepada pendapat ulama’. Imam Shafie mengatakan:
البدعة بدعتان: محمودة ومذمومة، فما وافق السنة فهو محمود، وما خالفها فهو مذموم.
yang membawa maksud: “bida’h itu 2 jenis: bida’h yang dipuji dan bida’h yang dikeji. Apa yang selari dengan Sunnah itu maka ia dipuji dan apa yang bertentangan dengannya maka ia dikeji.” Dalam riwayat lain, Imam Shafie ada mengatakan:
المحدثات (من الأمور) ضربان، ما أحدث يخالف كتابا أو سنة أو أثرا أو إجماعا، فهذه بدعة الضلال، وما أحدث من الخير لا يخالف شيئا من ذلك، فهي محدثة غير مذمومة.
Ertinya: “perkara-perkara baru yang diadakan itu 2 jenis: (Pertama), perkara baru yang bercanggah dengan Al-Quran atau Sunnah atau Athar sahabat atau Ijma’, maka ia Bida’h Dhalalah (sesat), dan (Kedua), perkara baru yang diadakan dari segala kebaikan yang tidak bertentangan dengan mana-mana daripada empat perkara itu, maka ia adalah bida’h yang hukan keji.”
Dari sini dapat kita lihat bahawa Imam Shafie memberi definisi dari sudut syara’ bahawa bida’h ialah sesuatu perkara baru yang diadakan tidak melanggar syara’ adalah bida’h yang dipuji dan jika sebaliknya maka ia adalah bida’h yang dikeji. Melalui riwayat ini Imam Shafie membahagikan bida’h kepada 2 iaitu bida’h hasanah dan bida’h mahmudah. Hal ini menunjukkan secara tidak langsung terdapat pembahagian bida’h yang telah dilakukan oleh Imam Shafie dan disokong oleh para ulama’ yang lain seperti Imam Nawawi, Imam Abd al-Haqq ad-Dahlawi, Imam Al-Ghazali dan para ulama’ yang lain.
Para ulama’ bersepakat mengatakan bida’h mempunyai 2 bahagian iaitu terpuji dan tercela. Para ulama’ juga sepakat mengatakan hadith:
كل بدعة ضلالة
“setiap bida’h itu sesat” perlu dikhususkan akan tetapi Imam Shatibi tidak bersama dalam kesepakatan ini. Baginya semua bida’h adalah tercela dan menolak pembahagian bida’h. Walaupun sedemikian, beliau mengakui di dalam bida’h itu ada dituntut dalam bentuk wajib atau sunat tetapi belaiu tidak menamakan bida’h tetapi memasukkannya dalam bahagian “Maslahah al-Mursalah” (kepentingan umum). Hal ini menunjukkan perbezaan dari sudut menamakannya sahaja yang bermaksud beliau tidak namakan bida’h tetapi menamakannya Maslahah.
Kesimpulan yang boleh kita dapat dalam perbincangan ini ialah ulama’ bersepakat dalam mengatakan bida’h itu ada yang terpuji dan tercela malah di zaman Saiduna Umar al-Khattab sendiri orang pertama yang mengatakan sedemikian. Malah ulama’ telah memberi pendapat mereka bukanlah mengikut hawa nafsu mereka tetapi mereka rujuk kepada sumber perundangan kita iaitu Al-Furqan, Hadis, Ijma’ dan Qias. Oleh itu kita sebagai orang awam yang mempunyai ilmu yang sedikit tentang agama berbanding mereka hendaklah kita mengikuti kesepakatan ulama’ dalam hal ini. InsyaAllah pada sesi akan datang saya akan membawa kupasan hadis yang begitu popular tentang bida’h mengikut pandangan ulama’. Moga-moga kita akan dapat manfaat daripada perkongsian ilmiah kita ini, InsyaAllah.

* ini pun dari blog lame, moga dapat manfaat ye, selamat membaca!!! =)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan