Sabtu, 16 April 2011

TAFSIR AL-HUJURAT ( PART 3 )

                Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurniaNya dapat lagi kita merasai nikmat yang telah diberikan oleh Allah S.W.T. Kite masih lagi dapat menghirup udara yang segar tanpa perlu membayar satu sen pun kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya Dia Maha Pemurah lagi Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya. Kita juga perlu meninggikan rasa syukur kita kepadaNya kerana mengurniakan kepada kita 2 nikmat yang paling besar bagi kita sebagai umat Islam iaitu nikmat Iman dan Islam. 2 nikmat yang tidak ada pada orang lain selain umat Islam itu sendiri. Bukan setakat kita perlu bersyukur sahaja dengan 2 nikmat yang paling besar diberikan kepada kita tetapi kita perlu melaksanakan tanggungjawab kita sebagai hamba kepadaNya iaitu beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dan menjadi khalifah di muka bumiNya ini.

                InsyaAllah post kali ini akan menyambung kembali bicara kita yang sudah lama tertangguh iaitu Tafsir al-Hujurat Part 3 dek kerana tidak sempat untuk meletakkan di dalam blog ini. Maklumlah, untuk berkongsi berkenaan dengan tafsir ini suatu yang agak sukar untuk ditulis begitu sahaja, malah perlu dibaca dan difahami dengan baik supaya tidak lari daripada apa yang saya dapat daripada tafsiran ini. Berkongsi berkaitan ilmu tidak seperti berkongsi tentang pengalaman yang mana boleh ditulis dengan begitu mudah manakala berkongsi berkaitan dengan ilmu perlu kepada memahami dengan betul serta tepat apa yang hendak disampaikan oleh ilmuwan tersebut dan tafsirannya perlu kita fahami dengan baik supaya tidak lari daripada perbincangan kita.

                Post kali ini saya akan sambung tafsiran al-Hujurat ayat yang ke 6 sehingga ayat ke 9. Moga-moga kita akan dapat pengajaran daripada tafsiran surah ini. Bukan setakat mendapat pengajaran sahaja malah perlu kita ikuti segala arahan dan perintah daripada Allah S.W.T kepada kita dan laksanakan dalam kehidupan kita. Perlu memahami teori supaya dapat kita praktikkan dalam kehidupan kita.
Firman Allah S.W.T ayat ke 6:

يأيها الذين ءامنوا إن جاءكم فاسق بنبإ فتبينوا أن تصيبوا قوما بجهالة فتصبحوا على ما فعلتم ندمين.
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seseorang yang fasik dengan membawa satu berita, maka selidiklah terlebih dahulu agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya (secara jahil), maka dengan sebab itu jadilah kamu di atas perbuatan kamu itu orang-orang yang menyesal.”

                Apakah yang Allah S.W.T ingin sampaikan kepada kita melalui ayat di atas? Sesungguhnya Allah S.W.T telah memberitahu kepada orang-orang yang beriman supaya berhati-hati menerima suatu berita terutama daripada orang fasik. Mengapa saya berkata ‘berhati-hati menerima suatu berita terutama daripada orang fasik’? Mari kita lihat sebab nuzul ayat ini iaitu sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh ulama’ bahawa ada seorang yang bernama al-Walid bin Aqabah bin Abi Muid seperti yang diriwayatkan oleh Said bin Qatadah bahawa nabi telah mengutuskan al-Walid bin Aqabah untuk mengambil harta sedeqah daripada Bani Mutalib. Maka al-Walid pergi menuju ke tempat tersebut seperti yang diarahkan oleh Rasulullah S.A.W. Apabila al-Walid sampai ke tempat tersebut, tiba-tiba dia melihat penduduk Bani Mutalib keluar berbondong-bondong, maka dia terus melarikan diri kerana sangkaan dia penduduk tersebut ingin memukulnya sedangkan penduduk tersebut ingin menunaikan sedeqah.

                Apabila tibanya al-Walid di Madinah dan terus bertemu Rasulullah S.A.W dan memberitahu bahawa penduduk Bani Mutalib telah murtad. Al-Walid menceritakan apa yang berlaku semasa dia sampai di perkampungan tersebut. Setelah baginda mendengar berita tersebut, lalu baginda mengarahkan bala tentera untuk berkumpul bagi melancarkan serangan terhadap Bani Mutalib yang disangkakan murtad. Baginda telah menugaskan Khalid al-Walid untuk memimpin bala tentera tersebut untuk menuju ke perkampungan tersebut dan Rasulullah S.A.W telah berpesan kepada Khalid al-Walid supaya siasat dan teliti dahulu sebelum memulakan serangan dan jangan bertindak terburu-buru. Khalid bersama bala tenteranya pergi ke perkampungan tersebut dan mengutuskan beberapa orang sahabat untuk menjadi pengintip. Kebetulan pengintip yang diutuskan oleh Khalid al-Walid sampai pada waktu malam di perkampungan Bani Mutalib dimana penduduk kampong tersebut tidak menyedari kehadiran tentera Khalid al-Walid.

                Keesokan paginya, pengintip tersebut masuk ke perkampungan tersebut dan mereka terdengar azan dan penduduk tersebut mendirikan solat. Hal ini menunjukkan bahawa mereka masih lagi seorang muslim dan bukannya murtad. Setelah tibanya waktu pagi, Khalid al-Walid menemui penduduk tersebut dan didapati mereka adalah Islam. Setelah itu, Khalid al-Walid pulang bersama tenteranya ke Madinah menemui Rasulullah S.A.W. Berhubung dengan peristiwa tadi, maka turunlah ayat di atas.

                Ayat ini memberi kita pengajaran kepada kita supaya siasat dahulu sesuatu berita yang sampai kepada kita. Apabila kita melihat sebab nuzul ayat ke 6 ini, adakah al-Walid bin Aqabah itu fasiq?? Ulama tidak memberitahu dalam sebab nuzul ayat ini bahawa al-Walid bin Aqabah itu fasiq akan tetapi hendak dinyatakan di sini bahawa datangnya berita daripada sesiapa pun hendaklah kita menyiasat dahulu dan jangan tergopoh-gapah, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:

التأني من الله والعجلة من الشيطان
Maksudnya:
“Berhati-hati adalah dari Allah dan tergopoh-gapah itu dari syaitan.”

Hal ini menunjukkan kepada kita bahawa tindakan yang dibuat oleh Khalid al-Walid yang berhati-hati itu menyebabkan kaum Bani Mutalib terselamat daripada serangan yang bakal dibuat oleh Khalid al-Walid. Tindakan seperti ini yang perlu kita contohi di dalam kehidupan kita. Kita perlu menyiasat dengan teliti sebelum membuat suatu tindakan yang merugikan kita serta menyusahkan pihak lain. Terutamanya apabila berita datang daripada orang fasiq. Ia akan menjadi satu bala dan malapetaka ke atas umat Islam jika kita tidak berhati-hati dan meneliti berita yang disampaikan kepada kita. Kelak, kita akan menyesal dengan tindakan yang kita buat ekoran daripada berita yang kita dapat daripada orang fasiq tersebut.

Pada zaman Nabi terdapatnya orang fasiq yang menyebarkan berita-berita palsu, maka tidak mustahil pada zaman kita ini begitu ramai golongan fasiq yang menyebarkan berita-berita palsu kepada masyarakat awam supaya bencikan ISLAM dengan menggunakan apa jua saluran seperti televisyen, surat khabar, majalah, atau radio. Mereka ini golongan yang antiperjuangan ISLAM, bencikan ISLAM, tidak berjiwa ISLAM dan sebagainya membuat khabaran yang palsu kepada masyarakat yang begitu bergantung kepada saluran-saluran maklumat yang ada untuk mengetahui sesuatu berita atau khabar. Sangat mendukacitakan apabila mereka yang mengetahui maklumat ini melalui saluran-saluran tersebut menerima sebulat-bulat daripada sumber yang mereka dapat. Seharusnya kita perlu meneliti apa jua khabar yang kita dapat supaya kita tidak membuat tindakan ataupun percakapan yang merugikan dan membinasakan kita sendiri. Oleh sebab itu, kita perlu mengambil tindakan yang sewajarnya seperti menyelidik dan mengkaji terdahulu berita yang sampai kepada kita.

Mengikut kaedah FIQH bahawa berita daripada orang fasiq tidak boleh menerima sebulat-bulatnya bahkan, dia juga tidak boleh menjadi saksi dalam mahkamah. Bagaimana yang dikatakan dengan FASIQ?? Bagaimana kita mahu mengenali orang FASIQ? FASIQ adalah individu yang mempunyai latar belakang yang tidak baik, mengerjakan dosa besar, dan sentiasa mengulangi dalam mengerjakan kecil serta mereka yang mengerjakan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah dirinya sebagai seorang manusia.

FASIQ ini dibahagikan kepada 3 peringkat iaitu:

PERINGKAT PERTAMA: Melakukan dosa besar secara sekali sekala sahaja. Selepas dia melakukan perbuatan tersebut, dia merasa bersalah dan tersangat menyesal terhadap perbuatannya itu.
PERINGKAT KEDUA: Melakukan maksiat atau dosa besar dengan bersungguh-sungguh dan sepenuh hati.
PERINGKAT KETIGA: Melakukan maksiat atau dosa besar di dalam keadaan berterusan, disamping itu dia menganggap betapa buruknya dosa besar yang dilakukannya itu. Peringkat ini adalah sebahagian daripada peringkat kekufuran.

                   Terdapat hukum-hukum yang berkait dengan orang yang fasiq dan antara yang diperbincangkan adalah menjadi imam, arahan pemimpin, dan wali. Imam Shafie mengharuskan orang yang fasiq menjadi imam kerana pemimpin di zaman beliau ramai yang fasiq. Walaupun demikian, mereka selalu bersolat dengan rakyat jelata dan menjadi imam di kalangan rakyat. Malah, rakyat tidak mampu melucutkan jawatan mereka dan keadaan ini menjadi adat apabila seorang ketua atau raja datang ke suatu tempat maka mereka akan menjadi imam solat di kawasan yang mereka lawati itu. Berkaitan dengan arahan pemimpin, jika arahan darinya mematuhi syariat hendaklah dipatuhi tetapi jika sebaliknya hendaklah ditolak dan tidak mematuhi arahan tersebut. Berkenaan dengan wali pula, Imam Shafie berpendapat bahawa orang fasiq tidak sah menjadi wali nikah akan tetapi Imam Hanafi dan Imam Hambali berpendapat harus menjadi wali nikah kerana orang fasiq tersebut boleh menjadi wali kepada hartanya, justeru itu layak baginya untuk menjadi wali kepada pernikahan tersebut.

Seterusnya, Allah S.W.T berfirman lagi:
واعلموا أن فيكم رسول الله
Maksudnya:
“Dan ketahuilah bahawa ada dikalangan kamu Rasulullah S.A.W.”
                                                                                                                                                                (al-hujurat: 7)

                Rasulullah S.A.W masih ada dikalangan kamu, maka hendaklah mentaati Rasulullah S.A.W dan janganlah membohongi Rasulullah S.A.W. Hendaklah memaklumkan kepadanya berita yang sebenarnya. Menerima berita yang sebenar dengan pengajaran yang sebenar. Seandainya kamu mendustakan Rasulullah S.A.W maka Allah Maha Mengetahui dan Allah akan mendedahkan kerja-kerja tidak betul yang kamu lakukan itu.

Dan seterusnya Allah S.W.T sambung lagi firmannya:

لو يطيعكم في كثير من الأمر لعنتم
Maksudnya:
“Kalaulah sekiranya dia (Rasulullah S.A.W) itu mentaati kebanyakan kamu, nescaya akan berlaku suatu perkara yang berat kepada kamu.”
                                                                                                                                                                (al-hujurat: 7)

                Apakah yang dimaksudkan Rasulullah mentaati kebanyakan kamu? Siapakah kamu itu? Maksud ayat ini ialah jika Rasulullah menuruti dan mempercayai kesemua perkara daripada percakapan kamu, nescaya akan berlaku sesuatu yang menimpa kesusahan kepada kamu atas kesilapan yang diambil oleh Rasulullah S.A.W tentang berita yang kamu sampaikan kepadanya. Jika kita lihat kembali kisah yang diceritakan sebelum ini di mana jika Rasulullah S.A.W menerima sebulat-bulatnya berita yang disampaikan oleh Walid bin Aqabah dan Khalid al-Walid yang mengetuai tentera Islam terus melakukan serangan tanpa diberikan peringatan daripada Rasulullah S.A.W terlebih dahulu, maka akan berlaku suatu tragedi yang amat menyedihkan iaitu kematian orang yang beriman.

                Oleh sebab Rasulullah S.A.W seorang yang ma’sum, maka Allah menghindari perkara ini terjadi. Sekarang Rasulullah S.A.W sudah tiada, maka apa yang perlu kita lakukan jika ada perkara yang berlaku sedemikian rupa? Maka kita hendaklah kembali kepada apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W seperti mana yang disabdakan oleh baginda sendiri:

تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما انتمسكتم بهما كتاب الله وسنة نبيه (أو كما قال)
Maksudnya:
“Aku telah tinggalkan aku kepada kamu supaya kamu tidak sesat selagi berpegang kepada dua perkara ini iaitu kitab Allah dan Sunnah Nabinya”

Maka kita hendaklah rujuk kedua sumber rujukan utama kita jika kita tidak mengetahui sesuatu perkara. Seandainya kita tidak tahu dan tidak mengerti tentang perkara itu, maka bertanyalah pada orang yang memahami isi al-Quran dan boleh menyampaikan dengan penuh amanah isi-isi dari al-Quran dan sunnah.

Seterusnya Allah S.W.T berfirman lagi:

ولكن الله حبب إليكم الإيمن وزينه في قلوبكم
Maksudnya:
“Akan tetapi Allah telah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hatimu.”
                                                                                                                                                                (al-hujurat: 7)

                Allah S.W.T telah meletakkan rasa cinta kamu kepada iman yang ada di dalam diri kamu sehingga kamu tidak membohongi Rasulullah S.A.W dan tidak menyampaikan berita-berita tidak betul kepada baginda. Mengapa boleh terjadi sedemikian rupa? Kerana Allah S.W.T telah membuatkan kamu mengasihi iman yang ada dalam diri kamu. Allah S.W.T telah meletakkan iman sebagai perhiasan dalam diri kamu. Hal ini adalah merupakan taufiq dan hidayah daripada Allah S.W.T kepada kamu. Jika tubuh badan ini ada perhiasan yang zahir seperti baju, cincin dan sebagainya, maka di dalam hati kita mempunyai iman sebagai perhiasan dalaman kita yang dikurniakan oleh Allah S.W.T, tuhan sekalian alam.

Seterusnya Allah S.W.T telah berfirman lagi:

وكره إليكم الكفر والفسوق والعصيان
Maksudnya:
“Allah S.W.T menjadikan kebencian dalam diri kamu terhadap kekufuran, kefasikan dan penderhakaan”
                                                                                                                                                                (al-hujurat: 7)

                Allah S.W.T telah menegaskan bahawa Dia telah meletakkan di dalam hati orang-orang yang beriman itu benci kepada kekufuran, kefasikan dan penderhakaan, maksiat, dan perkara-perkara yang buruk yang dibenci oleh Allah dan RasulNya. Inilah suatu sifat yang Allah letakkan dalam hati orang-orang yang beriman. Hasil daripada pemberian ini, apabila mereka melihat kepada maksiat ataupun perkara-perkara kufur, maka di dalam hatinya ada sifat benci dan marah kepada perbuatan tersebut. Seandainya dia melihat perkara-perkara tersebut dan terasa ingin melakukannya, maka dia merupakan individu yang mempunyai hati yang kotor dan keji sedangkan hati orang-orang yang beriman ini Allah S.W.T telah mencampakkan di dalam hati mereka benci kepada perkara-perkara maksiat yang berlaku.

Allah S.W.T berfirman lagi:

أولئك هم الرشدون
Maksudnya:
“Mereka itulah orang yang berada di atas jalan yang lurus dan betul.”
                                                                                                                                                                (al-hujurat: 7)

                Apakah yang dikatakan dengan ar-Rasyidun??? ar-Rasyidun adalah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus iaitu jalan Siraatul-Mustaqim – orang yang beristiqamah, orang yang duduk di atas jalan yang betul dan sentiasa berdiri teguh di atas jalan yang lurus itu-. Yang dimaksudkan dengan duduk di atas jalan yang betul ialah tetap di atas pegangan yang betul. Mereka bukan golongan yang pegangannya tentang ISLAM ibarat lalang apabila ditiup angin ke timur, maka condonglah ia ke timur dan sebaliknya. Golongan yang mempunyai pegangan yang betul ini ialah mereka begitu yakin dengan pegangan yang ada pada dirinya dan sangat yakin dengan pegangan tersebut sehingga sekiranya ada orang cuba menggoyahkan pegangannya, mereka tidak berganjak sedikit pun dengan provokasi itu. Ulama-ulama kita telah mengajarkan doa seperti berikut:

                “Wahai Tuhan, jadikanlah perasaan dalam diriku ini perasaan kasih kepada iman, jadikanlah iman itu sebagai perhiasan di dalam hati-hati kami. Wahai Tuhan, jadikanlah perasaan benci di dalam hati kami initerhadap kekufuran, fasik, dan maksiat dan jadikanlah kami semua termasuk di dalam orang-orang yang tegih di atasjalan yang betul dan sentiasa di atas jalan yang betul itu.”

Seterusnya, Allah S.W.T berfirman lagi:
فضلا من الله ونعمة والله عليم حكيم.
Maksudnya:
“Itu adalah suatu kurniaan daripada Allah S.W.T dan ini juga adalah suatu nikmat dan Allah S.W.T itu Maha Mengetahui (apa-apa perkara yang membawa kebaikan kepada kamu) lagi Maha Bijaksana (dalam mentadbir segala urusan kamu)”
                                                                                                                                                                (al-hujurat: 8)

                Apa yang diterangkan oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang di dalam kitabnya at-Tibyan dalam mentafsirkan Al-Quran Tafsir Surah al-Hujurat, perasaan suka kepada iman dan benci kepada kufur merupakan suatu kurniaan daripada Allah S.W.T yang diberikan kepada kita. Ini merupakan nikmat yang paling besar iaitu nikmat iman yang kita tidka boleh hendak bandingkan dengan segala nikmat yang lain. Sebagai contoh nikmat makan, ia akan hilang apabila makanan itu masuk ke dalam perut sedangkan nikmat iman ini berpanjangan sehingga ke saat kita disoal nanti. Nikmat iman tetap bersama-sama dengan kita di hari akhirat nanti. Hal ini menunjukkan bahawa nikmat selain nikmat iman tidak kekal lamanya jika dibandingkan dengan nikmat iman.

Allah S.W.T berfirman pada ayat yang seterusnya:

وإن طائفتان من المؤمنين اقتتلوا فأصلحوا بينهما فإن بغت إحدىهما على الأخرى فقتلوا التي تبغي حتى تفى ءإلى أمر الله فإن فاءت فأصلحوا بينهما بالعدل وأقسطوا إن الله يحب المقسطين.
Maksudnya:
“Dan jika sekiranya terdapat dua golongan daripada orang-orang yang beriman itu berperang, maka perdamaikanlah antara keduanya. Jika salah satu daripada keduanya itu melampaui batas terhadap yang lain, maka perangilah yang melampaui batas itu sehingga mereka kembali kepada hukum Allah. Jika sekiranya golongan itu kembali kepada hukum Allah, maka damaikanlah keduanya dengan adil dan berlaku adillah kamu. Sesungguhnya Allah itu kasih akan orang-orang yang berlaku adil.”

Perkara penting yang akan kita bincangkan untuk ayat ini ialah yang pertama berkenaan nuzul ayat ini. Ada beberapa riwayat berkenaan dengan turunnya ayat ini dan di antaranya ialah al-Mukhtar bin Sulaiman dari Anas bin Malik ra, Anas bin Malik berkata, aku pernah berkata kepada Rasulullah S.A.W:

يا نبي الله، لو أتيت عبد الله بن أبى
Maksudnya:
“Wahai Nabi Allah, alangkah baiknya kalau Rasulullah S.A.W berjumpa dengan Abdullah bin Ubai (pemimpin kaum munafiq dan memang dia seorang pemimpin, orang yang pernah hendak ditabalkan menjadi raja di Madinah mengajak dia memeluk Islam).”

Lalu Rasulullah pergi dengan menunggang keldai pergi menemui Abdullah bin Ubai bersama-sama dengan beberapa orang Islam. Apabila tibanya Rasulullah di kediaman Abdullah bin Ubai, Abdullah bin Ubai berkata dengan nada yang keras:

إليك عني، فو الله لقد أذاني نتن حمارك
Maksudnya:
“Jauhkanlah keldai itu dariku, demi Allah aku tidak tahan menghidu bau busuk keldaimu itu.”

Lalu seorang lelaki di kalangan Ansar berkata:

والله لحمار رسول الله صلى الله عليه وسلم أطيب ريحا منك
Maksudnya:
“Demi Allah, sesungguhnya keldai Rasulullah S.A.W lebih harum baunya dari kamu.”

Rasulullah S.A.W tidak berkata apa-apa kerana Baginda adlah seorang yang sangat penyabardan tidak mudah marah serta lembah lembut orangnya. Salah seorang daripada kalangan Abdullah bin Ubai sangat marah dengan kata-kata orang Ansar tersebut. Maka berlakulah pergaduhan antara mereka dengan menggunakan pelepah tamar, kaki dan tangan. Apabila berlakunya pergaduhan ini, maka Allah memerintahkan supaya kedua-duanya diperdamaikan dengan mengikut lunas-lunas Islam. Jika kita melihat ada berlakunya perselisihan faham, perbalahan dan sebagainya, kita hendaklah perdamaikan mereka dengan berpandukan kitab Allah dan sunnah Rasulnya.

فإن بغت إحدىهما على الأخرى فقتلوا التي تبغي حتى تفى ءإلى أمر الله
Maksudnya: “Jika salah satu daripada keduanya itu melampaui batas terhadap yang lain, maka perangilah yang melampaui batas itu sehingga mereka kembali kepada hukum Allah.”

Di dalam ayat ini, Allah telah menyatakan bahawa jika ada salah satu dari golongan tersebut melampaui batas, maka perangilah yang melampaui batas itu. Apakah yang dimaksudkan dengan melampaui batas? Yang dimaksdukan dengan melampaui batas adalah golongan yang tidak mahu menjadikan al-Quran dan Sunnah menjadi pegangan hidup atau tidak mahu mengikut hukum yang telah diturunkan oleh Allah S.W.T. Maka golongan seperti ini perlu kite perangi sehingga mereka kembali kepada Allah dan Rasulnya. Bagaimana kita hendak memerangi orang tersebut? Di sinilah perlukan satu daya pemikiran yang kreatif untuk mengembalikan golongan tersebut kepada hukum Allah. Adakah kita perlu isytiharkan perang kepada mereka untuk realiti masyarakat kita pada hari ini? Bagi pendapat saya, kita perlu anjurkan satu debat, ataupun program-program yang berbentuk kesedaran seperti program malam tahun baru, ataupun demonstrasi jalan akhir mungkin dan sebagainya supaya golongan-golongan tersebut kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Ingat sahabat-sahabat, kita kena menyahut seruan Allah ini untuk kita mempertahankan kesucian agamaNya ini.

Sambungan ayat tersebut:
فإن فاءت فأصلحوا بينهما بالعدل وأقسطوا إن الله يحب المقسطين.
Maksudnya: “Jika sekiranya golongan itu kembali kepada hukum Allah, maka damaikanlah keduanya dengan adil dan berlaku adillah kamu. Sesungguhnya Allah itu kasih akan orang-orang yang berlaku adil.”

                Di sini dapat kita fahami bahawa, apabila golongan tersebut yakni golongan yang melampaui batas tadi kembali kepada hukum Allah, maka damaikanlah mereka dengan cara yang baik dan adil. Sesungguhnya Allah itu suka kepada orang yang berlaku adil dan dikasihi oleh Allah S.W.T.


Berdasarkan kitab tafsir karangan Tuan Guru Haji Hadi, ayat ini mempunyai hukum di dalam Islam. Berlakunya sesuatu pergaduhan berpunca sama ada daripada kedua-dua pihak tersebut yang memulakan pergaduhan ataupun salah satu daripada golongan tersebut. Jika kedua-duanya salah, maka perdamaikanlah mereka supaya kembali kepada Allah dan RasulNya. Seandainya mereka berdegil dan tidak mahu mengadakan perdamaian, maka perangilah mereka sehingga mereka betul-betul kembali kepada Allah dan Rasul. Situasi yang berbeza pula di mana salah satu daripada golongan tersebut bersalah, maka perangilah yang bersalah tersebut supaya mereka sedar akan kesalahan mereka dan kembali kepada hukum Allah. Adapun sekiranya kedua-dua golongan tersebut berada dalam keadaan ragu-ragu, maka hendaklah kita menghilangkan keraguan yang ada pada mereka dengan kita khabarkan perkara yang sebenar ataupun mengemukakan hujah-hujah yang terang. Apabila kita membuat tindakan sedemikian, mereka akan sedar kesalahan dan kesilapan mereka itu. Jika mereka masih lagi berdegil setelah kita mengemukakan hujah-hujah yang jelas, mereka dianggap penderhaka dan hendaklah diambil tindakan yang sewajarnya ke atas mereka kerana tidak mahu mengikut apa yang telah dikhabarkan kepada mereka.



Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa boleh kita mengambil tindakan kepada penderhaka kepada kerajaan Islam. Apakaha yang dimaksudkan kepada penderhaka kepada kerajaan Islam itu? Mengikut Islam, maksud penderhaka ini ialah kumpulan orang yang beriman yang menentang kerajaan Islam yang adil, kerajaan yang melaksanakan syariat Islam di dalam sesebuah Negara, walaupun demikian berlaku salah faham di dalam kumpulan tersebut cara untuk melaksanakan syariat Islam di sesebuah negara tersebut. Jika sesebuah kerajaan tersebut tidak melaksanakan syariat Islam di sesebuah negara tersebut, maka tidak ada istilah penderhaka kepada kerajaan tersebut. Hal ini bermaksud, kumpulan yang hendak menjalankan syariat Islam kepada sesebuah negara itu dikira jihad kerana kerajaan tersebut tidak melaksanakan syariat Islam. Bukanlah yang dimaksudkan jihad di sini semata-mata peperangan. Bergantung kepada keadaan sesuatu tempat. Sebagai contoh di Mesir tidak berlaku peperangan tetapi mereka berjihad dari sudut pendidikan mereka di Azhar, dan juga politik di mana mereka bertanding untuk menang di pilihan raya dan menyebarkan syariat Islam berdasarkan kuasa yang mereka dapat. Melalui wasilah ini, maka Islam dapat disebarkan dengan meluas kepada masyarakat. Kumpulan seperti ini tidak boleh dianggap sebagai penderhaka kepada kerajaan kerana istilahnya adalah untuk kerajaan yang melaksanakan syariat Islam sahaja.

Islam telah ajar kepada kita bahawa penderhaka atau pemberontak tidak boleh diserang KECUALI mereka menyerang atau telah mempunyai kelengkapan yang cukup serta bersiap sedia dengan kekuatan mereka untuk menyerang. Jika mereka tidak ada apa-apa persediaan untuk menyerang, maka tidak perlu kita melancarkan serangan terhadap mereka. Bagaimana sabda Nabi S.A.W telah mengatakan:

لا يجهز على جريحها ولا يقتل أسيرها ولا يطلب هاربها ولا يقسم فيئها
Maksudnya: “Yang luka jangan dirawat, yang ditawan jangan dibunuh, yang lari jangan diekori, dan jangan dibahagikan harta rampasan mereka.”

                Pernah berlaku satu salah faham antara Saidina Ali dan Muawiyah yang menyebabkan berlaku peperangan Siffin. Walaupun kita dengar cerita bagaimana peperangan ini berlaku tetapi kita sebagai umat Islam yang terkemudian ini hendaklah berlapang dada atas peperangan yang berlaku antara dua orang sahabat Nabi ini. Peristiwa ini menunjukkan bahawa buruknya umat Islam bergaduh sesame sendiri. Oleh itu, jika kita melihat ada tanda-tanda orang Islam hendak bergaduh, damaikanlah mereka dengan cara mengajak mereka kembali kepada kitab yang mulia iaitu Al-Quran dan Sunnah yang menjadi pegangan hidup kita ini.



                Setakat ini dulu tafsir surah al-Hujurat, insyaAllah kita akan sambung lagi tafsiran ini pada hari yang diizinkan oleh Allah S.W.T. Syukran……=)   



1 ulasan: